Sunday 4 December 2011

7 Wasiat Raja - Raja Melayu

Saudara-Saudari Melayu ku yang dikasihi. Sama-sama kita mengingati dan menyelami tanggal keramat di bulan Ogos 1957, dimana 7 Wasiat Raja-Raja Melayu disampaikan semasa Paduka Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu menurunkan Tandatangan Persetujuan Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

"KAMI WASIATKAN KEPADA ZURIAT KETURUNAN KAMI 7 PERKARA YANG MANA JIKA KAMU BERSATU PADU DAN BERPEGANG TEGUH KEPADANYA, SELAMA ITULAH KAMU AKAN AMAN DAMAI DAN SELAMAT SEJAHTERA"

"ADALAH 7 PERKARA TERSEBUT IALAH;"

PERTAMA - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (Sekarang Dikenali Sebagai MALAYSIA).

KEDUA - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan untuk kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

KETIGA - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

KEEMPAT - Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.

KELIMA - Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan.

KEENAM - Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

KETUJUH - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja Raja Melayu untuk melindungi  KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan Sejarah, Kedaulatan dan Kuasa Politik Melayu (Yang Terletak Pada Raja-Raja Melayu). Jika kita sama-sama menilai dan perhatikan, betapa beradap dan kemas tutur cara Paduka Raja-Raja Melayu menggariskan Wasiat ini yang mana sepatutnya menjadi pegangan setiap umat Melayu dibumi bertuah ini.

Saudara-Saudari Melayu ku yang dikasihi, adakah kita akan menghancurkan amanat wasiat ini yang telah diperturunkan kepada kita untuk diwarisi anak cucu kita seterusnya? Kembalilah bersatu demi Tanah Melayu yang hanya satu didunia ini, kita perbetulkan kemungkaran dan bergerak maju menjadi sebuah bangsa yang unggul dan disegani di mata dunia. InsyaAllah segala yang baik datang dari ALLAH SWT.

No comments:

Post a Comment